syarat dan terma pendaftaran

DEFINISI 1. KELAB bermakna kelab KELAB BOLA SEPAK LIONS. 2. MESYUARAT AGUNG TAHUNAN bermakna mesyuarat yang diadakan oleh Kelab ini pada tiap-tiap tahun seperti yang disebutkan dalam Fasal 14 perlembagaan ini. 3. MESYUARAT AGUNG LUAR BIASA bermakna mesyuarat yang diadakan oleh Kelab ini seperti yang disebutkan dalam Fasal 16 perlembagaan ini. 4. JAWATANKUASA INDUK bermakna jawatankuasa tertinggi yang mentadbir perjalanan Kelab dan hendaklah mempunyai kuasa eksekutif dalam menggubal dan melaksanakan dasar-dasar Kelab yang disebut dalam Fasal 17 perlembagaan ini. 5. JAWATANKUASA bermakna Jawatankuasa yang sah dibentuk atau dilantik di bawah Perlembagaan ini mengikut Fasal 21. 6. PEGAWAI bermakna semua Ahli Jawatankuasa Induk, Jawatankuasa-Jawatankuasa dan mana-mana orang yang diberikan kuasa untuk menjalankan tugas dan fungsi Kelab. 7. PEMEGANG JAWATAN bermakna mana-mana orang yang dipilih atau dilantik dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan atau dilantik oleh Presiden atau Jawatankuasa Induk Kelab. 8. PEJABAT bermakna alamat berdaftar Kelab seperti yang ditetapkan dalam Fasal 2 Perlembagaan ini. 9. AHLI KELAB bermakna ahli yang disebutkan dalam fasal 6 Perlembagaan ini. 10. PESURUHJAYA bermakna Pesuruhjaya Sukan yang dilantik di bawah Seksyen10 Akta Pembangunan Sukan 1997. OBJEKTIF DAN FUNGSI 1. Objektif Kelab antaranya seperti berikut: (a) untuk merancang dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan sukan BOLASEPAK di kalangan ahli-ahli; (b) untuk mempromosi, menggalak dan membangunkan sukan BOLASEPAK di peringkat kelab; (c) untuk memilih atlet bagi mewakili kelab dalam mana-mana pertandingan sukan BOLASEPAK; dan (d) untuk bergabung dengan badan perwakilan di peringkat daerah. 2. Fungsi Kelab antaranya seperti berikut: (a) bertindak sebagai badan yang mengenali, mempromosi dan mengurus sukan BOLASEPAK di peringkat kelab; (b) mewujudkan dan memberi kesedaran ke atas kepentingan peraturan dan undang-undang sukan BOLASEPAK di kalangan ahli-ahli; (c) mengendali kursus dan latihan di kalangan ahli-ahli; (d) menganjur atau membantu penganjuran dan menjadi tuan rumah pertandingan bagi sukan BOLASEPAK diperingkat kelab. Bagi penganjuran di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa kelab hendaklah mendapat kelulusan daripada badan pengelola/ perwakilan; (e) menyelesaikan isu-isu dan konflik dalaman yang melibatkan ahli; (f) mengekalkan hubungan baik dengan badan pengelolanya/ perwakilan dan persatuan-persatuan sukan atau agensi yang lain; (g) memastikan prosedur pemilihan bagi mewakili kelab ke pertandingan-pertandingan yang disertai adalah terbuka dan adil; (h) memastikan bahawa setiap program dan aktiviti hendaklah berlandaskan perlembagaan ini dan peraturan-peraturan di bawahnya; (i) memastikan perlembagaan dan peraturan kelab dipatuhi dan diikuti oleh semua ahli; (j) memastikan laporan aktiviti dan akaun kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan sebelumnya disediakan; (k) memastikan kegiatan amal atau perniagaan yang dijalankan bagi menambah kewangan Kelab tidak bercanggah dengan undang-undang negara; dan (l) memastikan semua keuntungan yang diperolehi oleh Kelab melalui apa-apa perniagaan atau pelaburan akan digunakan semata-mata untuk meningkatkan, memajukan dan menjalankan objektif dan matlamat Kelab ini. Sungguhpun begitu, peruntukan ini tidak menghalang pembayaran gaji atau perbelanjaan kepada ahli atau pekerja Kelab ini. Kelab juga boleh menubuhkan syarikat perniagaan dan boleh memiliki harta benda dengan syarat keuntungan hendaklah dimasukkan ke dalam Tabung Kewangan Kelab. KEAHLIAN Keahlian Kelab ini terbahagi kepada kategori berikut: 1. Ahli Individu Terdiri daripada Individu-individu yang berumur lapan belas (18) tahun ke atas. 2. Ahli Remaja Terdiri daripada Individu-individu yang berumur di bawah lapan belas (18) tahun yang mendapat kebenaran bertulis daripada ibu bapa/ penjaga. 3. Ahli Kehormat Terdiri daripada Individu- individu yang pernah berjasa kepada Kelab atau individu-individu yang boleh memberi sumbangan kepada Kelab. YURAN KEAHLIAN 1. Setiap ahli hendaklah membayar yuran pendaftaran tahunan kepada Kelab. Yuran pendaftaran untuk semua ahli adalah RM10.00 manakala yuran tahunan untuk ahli individu RM20.00, ahli remaja RM10.00 dan ahli kehormat RM50.00. 2. Yuran tahunan hendaklah dibayar tidak lewat dari 1 Februari tiap-tiap tahun kepada Bendahari. Sekiranya yuran itu tidak dibayar, ahli yang berkenaan tidak boleh menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan. 3. Kegagalan untuk menjelaskan yuran tahunan dalam tempoh dua tahun menyebabkan keahliannya terbatal. 4. Mana-mana ahli yang telah dibatalkan keahliannya dan ingin menjadi ahli semula, hendaklah mengemukakan permohonan baru dengan menyertakan bayaran yuran pendaftaran, yuran tahunan dan penalti sebanyak RM20.00. Penerimaan keahlian ini tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Induk. PERMOHONAN MENJADI AHLI 1. Permohonan menjadi ahli hendaklah dibuat secara bertulis dengan mengisi borang dan dikemukakan kepada Setiausaha. Jawatankuasa Induk boleh meluluskan atau menolak sebarang permohonan. 2. Sekiranya permohonan menjadi ahli ditolak, sebab-sebab penolakan hendaklah dikemukakan kepada pemohon secara bertulis. KEISTIMEWAAN DAN HAK AHLI. 1. Semua ahli mempunyai hak dan keistimewaan seperti berikut: (a) berhak untuk menyertai segala kegiatan yang dianjurkan oleh Kelab ini; (b) berhak menerima dengan percuma satu salinan perlembagaan Kelab semasa pendaftaran dan diberi sekali sahaja; dan (c) berhak menggunakan kemudahan dan premis Kelab ini tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan. 2. Tiap-tiap ahli hendaklah mengakui dan bersetuju untuk mematuhi: (a) perlembagaan, undang-undang dan peraturan termasuk peraturan-peraturan kecil, amalan-amalan terbaik yang diterima pakai oleh badan-badan sukan di peringkat tempatan dan antarabangsa; (b) segala bidang kuasa Kelab sukan ini; dan (c)segala peraturan dan undang-undang berkaitan dengan sukan ini. HAK MENGUNDI DALAM MESYUARAT AGUNG 1. Ahli Individu Semua ahli individu yang membayar yuran tahunan sebelum 1 Februari tahun tersebut berhak untuk mengundi dan diundi dalam mesyuarat Agung Tahunan. 2. Ahli Remaja Semua ahli remaja yang membayar yuran tahunan sebelum 1 Februari tahun tersebut berhak untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan tetapi tidak boleh mengundi dan diundi dalam Mesyuarat tersebut. 3. Ahli Kehormat Ahli Kehormat tidak berhak mengundi dan diundi tetapi boleh menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan sebagai pemerhati. DISIPLIN AHLI PEGAWAI DAN PEMEGANG JAWATAN. 1. Jawatankuasa Tatatertib setelah mendapati mana-mana ahli, pegawai dan pemegang jawatan: (a) telah melanggar, gagal, enggan, atau tidak mematuhi mana-mana peraturan dan undang-undang termasuk gagal memenuhi komitmen sebagai ahli sepertimana Fasal 9.2; (b) bertindak secara tidak wajar atau memudaratkan Kelab dan kepentingannya; dan tidak selari dengan matlamat Kelab dan sukan itu sendiri; dan (c) membawa keaiban kepada Kelab, ahli Kelab, sukan itu sendiri dan negara. (d) boleh memulakan prosiding disiplin terhadap ahli, pegawai atau pemegang jawatan tersebut tertakluk kepada kuasa, prosedur disiplin yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk. Ahli, pegawai dan pemegang jawatan yang teribat, berhak untuk mendapat keadilan semulajadi (natural justice). PEMBERHENTIAN, PENGGANTUNGAN DAN PEMECATAN AHLI/ PEGAWAI DAN PEMEGANG JAWATAN. 1. Mana- mana ahli atau pemegang jawatan yang membuat permohonan bertulis untuk berhenti menjadi ahli dan permohonannya itu diluluskan oleh Jawatankuasa Induk adalah dianggap sebagai telah berhenti menjadi ahli kelab. 2. Penggantungan atau pemecatan ahli atau pemegang jawatan boleh dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib setelah melalui proses keadilan semulajadi. 3. Pemberhentian atau pemecatan mana-mana pegawai atau pemegang jawatan yang dilantik oleh Presiden atau Jawatankuasa Induk adalah tertakluk kepada syarat-syarat dalam perlantikannya. 4. Setiap ahli atau pemegang jawatan yang didapati menjalankan sesuatu kegiatan yang bertentangan dengan perlembagaan Kelab boleh dipecat atau digantung keahliannya atau jawatannya bagi tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah. Surat tunjuk sebab hendaklah dikemukakan kepada ahli atau pemegang jawatan tersebut sebelum tindakan pemecatan atau penggantungannya dibuat. 5. Penggantungan atau pemecatan itu hendaklah berkuatkuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tatatertib. 6. Mana-mana ahli, pegawai atau pemegang jawatan yang keahliannya dipecat atau jawatannya digantung boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Induk dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh keputusan Jawatankuasa Tatatertib. 7. Jawatankuasa Induk mempunyai kuasa sama ada untuk menerima, menolak atau membuat apa-apa keputusan lain yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib dan keputusan Jawatankuasa Induk adalah muktamad. MESYUARAT AGUNG TAHUNAN. 1. Mesyuarat Agung Tahunan ialah mesyuarat yang dihadiri oleh semua ahli Kelab. Ia merupakan kuasa perundangan tertinggi untuk membuat keputusan. 2. Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah diadakan tidak lewat dari tarikh 31 Mac (nyatakan tarikh/ bulan) tiap-tiap tahun. 3. Jika Kelab gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya mengikut tempoh yang ditetapkan dalam fasal 14.2 dan 14.7, Kelab hendaklah merujuk kepada Pesuruhjaya untuk pelanjutan masa bagi mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan itu. 4. Notis Mesyuarat Agung Tahunan (a) Dua (2) notis Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar secara bertulis sama ada melalui fax, e-mail, surat berdaftar atau serahan tangan. (b) Notis pertama hendaklah dihantar kepada setiap ahli sekurang-kurangnya tiga puluh (30) hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan yang menyatakan perkara- perkara berikut: (i) Tarikh (ii) Hari (iii) Masa (iv) Tempat Mesyuarat diadakan. (c) Notis kedua hendaklah dikeluarkan kepada setiap ahli sekurang- kurangnya dua puluh satu (21) hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan yang disertakan dengan perkara- perkara berikut; (i) Agenda (ii) Laporan aktiviti (iii) Laporan kewangan (iv) Borang maklumat perwakilan ke Mesyuarat Agung (v) Borang pencalonan ( jika berkenaan) (vi) Borang permintaan usul daripada ahli untuk dibawa dalam Mesyuarat Agung Tahunan. (d) Borang pencalonan (jika berkenaan) dan borang maklumat perwakilan yang telah lengkap hendaklah dikemukakan kepada Setiausaha sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan. 5. Usul (a) Semua usul yang hendak dibawa ke dalam Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dikemukakan secara bertulis kepada Setiausaha sekurang- kurangnya empat belas (14) hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan. (b) Jika usul ditolak oleh Jawatankuasa Induk, usul tersebut atau usul baru yang mempunyai maksud yang sama atau tidak boleh dikemukakan semula. Usul tersebut hanya boleh dikemukakan semula selepas enam (6) bulan dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan itu. 6. Korum (a) Korum bagi mesyuarat Agung Tahunan hendaklah tidak kurang dari satu perdua (1/2) daripada bilangan keahlian yang layak mengundi. (b) Sekiranya korum tidak mencukupi selepas satu (1) jam dari masa yang ditetapkan, maka Mesyuarat Agung itu hendaklah ditunda kepada tarikh baru dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh mesyuarat itu. (c) Sekiranya korum masih tidak mencukupi pada mesyuarat yang ditunda itu maka ahli-ahli yang hadir bolehlah meneruskan mesyuarat tetapi tidak boleh meminda perlembagaan dan membuat apa- apa keputusan berkaitan dengan kepentingan ahli. 7. Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan. (a) Mana-mana Mesyuarat Agung Tahunan yang ditangguhkan selain daripada perkara 14.3, Pengerusi boleh dengan persetujuan dua pertiga (2/3) daripada ahli mesyuarat yang berhak mengundi, menangguh mesyuarat kepada masa dan tempat yang lain. (b) Sekiranya mesyuarat Agung Tahunan ditangguhkan dalam tempoh tidak melebihi tiga puluh (30) hari, mesyuarat itu boleh disambung tanpa mengeluarkan notis mesyuarat yang baru. Walau bagaimanapun tiada perkara baru boleh dibincangkan selain dari apa yang telah dinyatakan dalam agenda. Ia hanya untuk menyelesaikan agenda mesyuarat terdahulu yang masih belum selesai. (c) Jika mesyuarat itu ditangguhkan melebihi daripada tiga puluh (30) hari, notis mesyuarat baru hendaklah dikeluarkan sama seperti notis asal menurut fasal 14.4. Walau bagaimanapun tiada perkara baru boleh dibincangkan selain dari apa yang telah dibinyatakan dalam agenda. Ia hanya untuk menyelesaikan agenda mesyuarat terdahulu yang masih belum selesai. 8.Pengendalian Mesyuarat Agung Tahunan Apa-apa perkara yang berbangkit semasa Mesyuarat Agung Tahunan berkaitan dengan agenda mesyuarat, prosedur dan tatacara pengendalian mesyuarat hendaklah dirujuk kepada pengerusi Mesyuarat yang keputusannya adalah muktamad. 9. Kaedah Mengundi Dan Keputusan. 9.1. Apa-apa keputusan yang memerlukan pengundian, pengundian hendaklah dibuat dengan cara: (a) mengangkat tangan; atau (b) jika diminta oleh: (i) Presiden dengan persetujuan majoriti ahli mesyuarat; atau (ii) satu perdua (1/2) daripada ahli Mesyuarat yang berhak mengundi menggunakan kertas undian tertutup. 9.2. Keputusan undian tersebut hendaklah diisytiharkan oleh Presiden sebaik sahaja proses pengiraan selesai dan keputusan itu hendaklah direkodkan dalam minit mesyuarat. 10. Penghantaran Dokumen dan Minit Mesyuarat Agung Tahunan (a) Setiausaha hendaklah menghantar setiap minit Mesyuarat Agung Tahunan yang belum disahkan kepada ahli-ahli dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh Mesyuarat itu diadakan. (b) Setiausaha hendaklah menyerahkan kepada Pesuruhjaya dokumen-dokumen yang ditetapkan oleh Pesuruhjaya dalam tempoh (30) hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan. Dokumen-dokumen tersebut ialah: (i) Borang PT1/ PT2; (ii) Minit Mesyuarat Jawatankuasa yang menetapkan Mesyuarat Agung Tahunan; (iii) Notis(merujuk fasal 14.4); (iv) Minit Mesyuarat Agung Tahunan; (v) Senarai ahli Jawatankuasa Induk terkini; (vi) Laporan Aktiviti Tahunan; (vii) Laporan Kewangan Tahunan; (viii) Senarai Ahli Induk terkini; dan (ix) dokumen-dokumen lain seperti yang diarahkan oleh Pesuruhjaya. DISKRIMINASI, EKSPLOITASI DAN GANGGUAN SEKSUAL. 1. Kelab dan ahli-ahli ini termasuk individu, pegawai, pemegang jawatan, jurulatih serta atlet bertanggungjawab menjamin keadilan dan kesaksamaan tanpa mengira gender, agama dan bangsa. 2. Kelab hendaklah memastikan tiada eksploitasi, gangguan fizikal, emosi dan seksual dilakukan terhadap mana- mana orang dalam Kelab. TAFSIRAN UNDANG-UNDANG Di antara Mesyuarat Agung Tahunan, Jawatankuasa Induk boleh memberi tafsiran terhadap perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam perlembagaan ini selagi tafsiran tersebut tidak bercanggah dengan dasar dan objektif kelab. PERTIKAIAN DALAMAN Jawatankuasa Induk dengan kerjasama Jawatankuasa Tatatertib bertanggungjawab untuk mewujudkan satu mekanisme bagi menangani apa-apa pertikaian yang timbul di kalangan ahli-ahlinya mengikut prosedur dalaman yang ditetapkan dalam peraturan-peraturan Kelab ini. Jika pertikaian gagal diselesaikan, Kelab hendaklah merujuk kepada badan pengelola sukan ini untuk penyelesaian. LARANGAN. 1. Segala bentuk perjudian dan aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia dilarang dilakukan dalam mana-mana premis Kelab. 2. Kelab tidak boleh terlibat, bergabung atau mengadakan hubungan dengan apa-apa jua kegiatan politik atau mana-mana parti politik dan menggunakan nama kelab dalam apa jua isu-isu politik.